Ahad, 13 September 2015

Suamiku Yang Luar Biasa


Bismillah...

Sudah agak lama tidak menulis. Kebelakangan ini aku agak sibuk. Sibuk dengan kerja-kerja keguruan dan sebagai seorang ibu.

Alhamdulillah aku dapat bertukar mengajar di sekolah berdekatan dengan rumah.

Sekolah baru, rakan-rakan baru, cabaran baru dan murid-murid baru.

"Apasal nama awak ada Gloria?"
"Awak converted ke?"
"Suami awak orang melayu ke?"

Aku akan selalu ditanya soalan yg sama. Berulang-ulang....

Entri ini bukan untuk menjawab kenapa nama aku ada Gloria...tetapi untuk menjawab suami aku orang melayu.
Gambar hiasan

Ya....suami aku orang melayu.

Berbangsa melayu brunei.

Aku berkenalan dan bernikah dengan suami lebih kurang 9 tahun yg lalu..iaitu setelah hampir 9 tahun aku memeluk islam.

Aku membujang untuk tempoh yg agak lama. Tiada teman lelaki istimewa. Hanya dikelilingi oleh rakan-rakan baik.

Ada yang hendak menyunting, tetapi aku meletakkan syarat yang agak ketat.

Kacak? Tidak.
Kaya? Tidak! Aku tidak pernah suka orang kaya.
Berkelulusan tinggi? Tidak semestinya.
Stabil? Ini bonus.

Ibuku sendiri tidak memaksa aku untuk segera berkahwin. Ibu hanya berpesan, alang-alang memeluk islam carilah lelaki yang baik agamanya.

Aku cuma meletakkan syarat bakal suamiku mesti jenis yang jaga solat. Aku tidak memberitahu hal ini kepada lelaki-lelaki yang cuba berkawan rapat denganku. Aku suka memerhati.

Bagi aku seorang lelaki yang menjaga solatnya, inshaAllah ibadah lain akan terpelihara. Lelaki yang menjaga solat ada usaha menjaga hubungannya dengan PenciptaNya. Lelaki yang menghormati PenciptaNya, inshaAllah akan menghormati dan menghargai kita.

Suamiku bukan lelaki yang sempurna. Dia jauh dari sempurna. Dia hanya lelaki terbaik yang Allah pinjamkan kepadaku.

Kami berkenalan melalui anak saudaranya.

Di awal perkenalan, aku tahu suamiku kosong. Tiada harta. Dia berterus terang kepadaku. Yang ada hanya hutang kad kredit keliling pinggang dan sebuah kereta honda buruk. Itupun dibeli secara ansuran daripada keluarga terdekat.

Hendak kahwin pun dia tiada duit.

Dia baru dapat kerja tetap sebagai kakitangan kerajaan. Aku 5 tahun lebih senior daripadanya dalam perkhidmatan kerajaan.

Di mana hendak korek duit?

Aku menginginkan majlis pernikahan yang sederhana, tetapi keluarga sebelah suami terlalu mementingkan adat. Air muka suami juga perlu dijaga. Adik beradiknya tidak akan faham; yang mereka faham suami berjawatan tinggi tentu gajinya tinggi. Mereka tidak faham yang suami baru bekerja tetap dan tiada langsung simpanan.

Aku hampir menolak suami; bukan kerana dirinya tetapi kerana adik beradiknya.

Apa yg menarik aku untuk menerima suami adalah kesungguhannya dan kejujurannya inshaAllah.

Itupun selepas beberapa kali istiharah. Allah menenangkan aku melalui ayat ini pada satu hari selepas usai solat subuh..

".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu; dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu: Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Maksud Sural Al-Baqarah : 216)

...Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan kami.

Pernikahan itu membuka pintu-pintu rezeki...

Dalam kekurangan, kami saling melengkapi. Hutang kad kredit suami selesai pada tahun kedua perkahwinan kami. Hutang kereta juga habis dibayar. Sebagai isteri dan juga 'akauntan' suami, aku memainkan banyak peranan. Mendidik suami membayar hutang, menyimpan dan menyertai takaful.

Paling penting tidak meminta bendalah mengarut yang di luar kemampuan suami. Tiada kasut mahal. Tiada beg mahal. Tiada barang kemas. Aku sudah biasa hidup biasa-biasa sahaja.

Walaupun suamiku bukan lelaki yang kacak dan bukan lelaki kaya; aku bersyukur dia boleh mengimamkan solat, rajin menolong membuat kerja-kerja rumah dan pandai melayan kerenah anak-anak.

...juga banyak bersabar dengan kedegilanku.

Kami hidup bersederhana. Alhamdulillah.

Apa-apa pun, ingin aku tuliskan di sini untuk pernikahan anak-anakku di masa akan datang (inshaAllah), TIADA ADAT YANG MENGARUT DAN MEMBAZIR, SYARIAT ONLY.

InshaAllah bahagia until JANNAH. AMIN.


#kedaigloria

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...